Archive for the ‘time’ Category

Selamat Tinggal Sayang

Posted: October 16, 2014 in lesson, life, love, Novel, time, Work, writing
Tags: , ,

Jam menunjukkan 3 pagi. Mata tak dapat dilelapkan kerana kata-kata doktor masih terngiang di telinga.

“You have a heart condition. Amat jarang berlaku. Ada masanya kamu akan rasa berdebar tak tentu pasal. Ada masanya your heart will skip a beat. Ianya dikenali sebagai heart arrhythmia. Awak kalau memandu, jangan stress sebab awak boleh kena serangan jantung dan pitam. Awak kena jaga tahap stress awak seharian. Cardiac arrest can happen anytime even when you are sleeping.”

Toleh ke sebelah katil, kosong. Bingkas bangun untuk minum air. Jenguk bilik anak-anak, kosong. Jantung berdebar. Kawal nafas, kawal emosi.

Duduk di sofa dalam kepekatan malam. Bunyi katak bersahutan sahutan kerana hujan baru sahaja berlalu pergi. Masuk bilik anak-anak. Capai selimut mereka. Balik ke kamar sendiri. Selimut anak-anak dihamparkan ke atas katil. Bantal golek dibungkus selimut anak-anak. bantal golek dipeluk dibayangkan anak-anak.

Otak terfikir, “Kalau malam ni Allah jemput aku pulang, bagaimanakah nanti keadaaan anak-anak aku? Adakah mereka akan membesar menjadi anak-anak yang soleh dan solehah? Adakah mereka akan menjaga mak mereka sehingga ke hembusan akhir mak mereka? Adakah mereka akan mengingati aku dalam doa mereka selalu? Adakah mereka akan marahkan aku kerana merahsiakan semua ini dari mereka?”

Jantung berdebar balik. Kawal nafas, kawal emosi.

Bangun balik. Pastikan tak bangun mendadak takut darah turun ke dari kepala cepat sangat. Berjalan ke kamar mandi. Mandi, ambil wudhu dan pakai baju kerja.

Solat hajat. Duduk termangu atas sejadah. Fikir sejenak. Perasaan menjadi kosong tiba-tiba. Angin sejuk awal pagi menghembus dan kedengaran azan Subuh. Solat fardhu Subuh. Capai beg komputer riba turun ke kereta.

Hidupkan enjin. Semuanya berlaku seperti dikawal dari jauh. Dalam diri terasa kosong. Masuk gear dan mulakan perjalanan. Kaki menekan pedal minyak dan tangan mengawal stereng. Semuanya seperti tahu apa perlu dilakukan. Rasa seperti roh dah takde dalam jasad tapi masih bernyawa.

Entah mana-mana pusing tau tau dah sampai pejabat. Tengok jam, 6.15 pagi. Pejabat masih berkunci. Baringkan kerusi kereta, lelapkan mata.

Tau-tau dengar bunyi siren ambulan. Terasa dicucuk sana sini. Bunyi seakan bergema. Cuba bukakan mata. Berat. Hanyut kembali.

Terasa seperti terkena renjatan elektrik satu badan. Sakit. Dengar bunyi riuh macam di pasar borong KL. Tekak terasa seperti ada hos getah siram pokok dimasukkan. Hanyut kembali.

Mata dibuka, isteri tertidur di luar berbantalkan cermin. Nak panggil, suara tak keluar. Tangan cuba diangkat hendak panggil, terasa berat. Pelbagai hos dan wayar berselirat atas dada, di kepala dan tangan. Terasa macam dalam filem RoboCop. Perhatikan isteri, air mata bergenang. Dalam hati berkata, “Sayang, saya maafkan awak.”

Kemudian semuanya gelap kembali…


Sunyi rasanya kini setelah ku tahu dirinya tiada lagi di dunia ini. Untuk membuat hatiku ini lebih meruntun ialah aku tak sempat menghabiskan cerpen Aku, Kau, Dia dalam blog ini kerana ianya ditujukan kepadanya.

Makin hari aku makin merindui teman karibku itu. Mungkin rasa bersalah kerana tidak mengetahui arwah sakit tenat malah dimasukkan ke hospital juga turut menambahkan lagi gundah gulana aku.

Hadiah pemberiannya sempena ulang tahunku yang lalu masih baik ku simpan.

Arwah tahu aku sukakan batu Tiger’s Eyes maka dia bersusah payah mencarinya untuk dibuat gelang. Ada 4 warna cantik dipilihnya. Aku membayangkan arwah membuatkan sendiri gelangku itu tengah-tengah malam dengan perasaan penuh kasih sayang dan ikhlas dan apabila siap jenuh mencari bekasnya pula. Ketika itu arwah menetap di Taiping maka gelang aku itu diposkan dari Taiping ke Petaling Jaya.

Kerana usahanya itu maka aku berasa sayang memakainya dan juga kerana ianya terlalu cantik, sayang pula kalau ia putus.

Namun arwah ada menegur aku yang dia berasa bangga dan terharu apabila terlihat gambar aku dalam akhbar Kosmo dan gelang pemberiannya itu aku pakai.

Teman rapatku, masih aku terasa kasih sayangmu, sikap ambil beratmu dan juga kemesraan mu. Aku mendoakan kau tenang di sana. Kenangan kita bersama akan aku abadikan dalam diri….

Posted with WordPress for BlackBerry.


Semalam, iaitu Ahad 11 Oktober 2009 merupakan tarikh bersejarah dalam hidup aku. Mana taknya, itulah kali pertama dalam hidup aku aku menjadi pengacara pada majlis perkahwinan. Aku memenuhi permintaan Sheeda dan Nazreen.

Nazreen pernah bertanyakan kepada aku sedikit masa dulu jika aku sudi menjadi pengacara pada majlis perkahwinannya. Aku hanya berseloroh dengan mengatakan apa salahnya. Mungkin juga aku bersetuju kerana aku ingine berjumpa dengan Nurhanisah, buah hati lama aku. Nurhanisah merupakan sepupu kepada Sheeda dan Nazreen.

Cerita cinta aku ni lama sebenarnya. Marilah aku berkongsi sedikit. Aku kebetulan masa tu masih single. Zaman nakal aku. Ye lah, dah break dengan girlfriend pertama aku, luka masih belum sembuh. Dalam hati ni nak balas dendam kat perempuan je.

Aku dan sepupu aku ke rumah terbuka salah seorang rakan sekolah sepupu aku, Shahnaz. Rumah ni rumah kampung di Gombak. Di sana aku berasa seperti orang tua. Manakan tidak semuanya muda lebih kurang tujuh ke lapan tahun dari aku.

Waktu tu aku 24 jadi budak-budak ni dalam tingkatan 5. Perhatian aku tertumpu kepada seorang gadis berkaca mata. Dia malu-malu apabila aku tenung dia. Aku dah la macam budak jahat petang tu, naik motor Virago custom aku, helmet askar Jerman, jaket kulit dan jeans koyak kat lutut. Rambut pulak melepasi paras bahu. Memang macam rokcer biker la aku petang tuh.

Dalam dok-dok tanya, nama dia Hanisah. Oklah, pendekkan cerita beberapa hari lepas tu, Shahnaz cakap, “Bro, awek tu nak kenalan dengan lu. Apa lagi?”

Aku mulanya agak keberatan, bukan apa cuma pada aku dia ni masih budak-budak dan kebetulan masa tu aku pun ada kalau tak silap 2 atau 3 girlfriend lain. Aku pun tak tahu apa yang dia suka sangat, nak kata handsome gila tu takde pulak kat aku, charming? Aku dengan imej rebel gila apa ke charmingnya? Entahla bukin pada mata dia imej budak jahat aku tu kot yang menarik perhatian dan buat dia jatuh hati.

Dari berkawan, kami berkasih. Selepas dia tamat SPM dia kerja di Pizza Hut Alpha Angle Wangsa Maju. Aku kerapkali disuruh ke sana untuk break time dia. Mula-mula ok namun lama kelamaan aku mula muak. Muak bukan apa, aku bukannya jenis boleh dipaksa-paksa maka pada satu hari itu kami bertengkar. Dan tidak aku sangka pula pertengkaran itu membawa kepada perpisahan kami.

Sebenarnya, aku muak dengan dia bukan kerana itu, aku marah dengan diriku sebenarnya. Marah kerana pada aku, aku hanya mahu membinasakan kaum Hawa dan dia ni masih suci, bersih dan mentah. Dan paling aku marah ialah, aku mula jatuh cinta padanya. Itu yang aku paling marah. Jadi bagi mengelakkan pisang berbuah dua kali (cinta pertama aku selama enam tahun karam apabila dia mula ke kolej dan mengenali dunia luar) dan aku tidak mahu perkara yang sama berulang maka aku pun dengan sengaja buat perangai supaya dia membenci aku. Dengan sengaja aku sergah dia di dalam Alpha Angle. Sekarang aku merasa ianya agak keterlaluan namun itu sahja penyelesaiannya aku ketika itu. Dia benar-benar mencintai aku sedangkan dia pada aku masih terlalu muda untuk memahami apa erti cinta sebenarnya.

Dia menangis petang itu sambil menghilangkan dirinya dalam kesibukan JCard sales. Aku buntu. Aku lepak kejap lepas tu aku cari dia di Pizza Hut, manager dia cakap dia balik kerana ada hal. Aku ke rumah dia, adik dia cakap dia takde. Esoknya aku jumpa dia Pizza Hut. Mukanya masam. Dia cakap dia akan jumpa aku waktu dia break nanti.

Tujuan aku jumpa dia hari tu aku nak minta maaf namun apakan daya apabila dengan genangan air mata dia minta untuk memutuskan perhubungan kami. Percubaan aku untuk memujuknya kembali beberapa kali selepas itu menemui jalan buntu.

Aku mendapat berita dia diterima ke UITM. Aku lupa yang mana satu. Namun aku tetap cuba hubunginya untuk memujuknya kembali dan aku pula memutuskan hubungan dengan girlfriend yang lain kerana aku telah fikir masak-masak yang Hanisah inilah orangnya yang akan menggantikan Leen. Aku tidak mahu lagi membinasakan kaum Hawa.

Mungkin ianya petunjuk daripada ALLAH, pintu hati Hanisah tertutup untuk aku. Malah dia pula berkata dia telah berkenalan dengan seorang course mate yang memiliki kereta Evo (nak perli aku lah tu kerana aku ada motor sahaja). Selepas itu aku paham isyaratnya. Dengan berat hati aku mula melupakan dia.

Semalam, ke semua peristiwa kami kongsi bersama bermain kembali dalam kepala aku sambil aku berdiri di rostrum sebagai pengacara. Dari aku sampai sehinggalah pengantin turun bersalaman dengan tetamu, aku perasan setiap kali aku memerhatikan dia, dia akan bermanja-manja dengan suaminya seperti mana dia pernah lakukan dengan aku dulu. Mungkin perasaan aku, mungkin tidak.

Ketika itu pedih rasa hati aku. Ini merupakan lagu yang dia pernah tujukan kepada aku. Lagu dari Britney Spears ini katanya memang mempunyai maksud mendalam buat aku. Time tu aku fikir alah budak-budak apa tau. Tapi apabila aku mendengar balik sebentar tadi, aku faham. Nurhanisah, aku ingin memohon maaf sekiranya aku pernah melukai hatimu, memalukanmu di khalayak umum malah mengecewakan hatimu dulu. Walaupun pedih hati ini menerima pembalasanNYA semalam, aku pasrah dan aku mendoakan kebahagiaan mu di samping suami dan anak. Amin.