Posts Tagged ‘JustMint’


Pada satu ketika, kami sekeluarga ada restoran semi-fine dining di Alpha Angle Wangsa Maju. Salah seorang hostess kami di sana aku ingat nama dia Haslinda. Linda ni nama manja la gitu. Kalau tak silap asal Melaka. Dok di Wangsa Maju dengan kawan-kawan.

Masa tu aku Assistant Restaurant Manager, tapi salah seorang company director. So nak jadi cerita masa tu aku sedang dikenen kenen dengan pastry cook ni nama Balqish. Nama betul dia Nurhasnida tak silap aku dok kat area Gombak.

Dalam aku dok berkenalan dan kira nak mengenali diri la si Balqish ni, rupanya ada yang tersirat lain. Dia tau si Linda pun minat ke aku. So macam drama slot Akasia TV3 jam 7 malam la rupanya mereka berlumba lumba nak menang hati anak pemilik restoran. Mama pula dulu personaliti TV. Maka riuh lah satu Alpha Angle adik operator gerai Wantan foodcourt Alpha Angle bercinta dengan anak pemilik restoran Melayu kat situ.

Patutlah masa kami couple, si Linda ni terus berhenti. Dia kata ada offer bagus. Aku suka cara dia kerja. Bagus. Sebab tu aku sayang nak lepaskan dia. Aku sampai je dia buatkan aku kopi dan hantar ke office aku. Nak balik dia inform aku. Mana la aku nak tau dia suka aku. Masa tu pulak aku masih biker kental so cintan cintun ni macam tak releven.

Jodoh aku dan Balqis tak lama. Entah macam mana beberapa bulan lepas kami putus, mama pun pindah lokasi restoran. Kontrak sewa rumah aku ada beberapa bulan lagi so aku stay aje kat sana dulu sementara kami buka kedai baru di belakang Imperial Sheraton KL.

Nak jadi cerita satu malam tu aku lapar. Nak makan apa tak tahu. Nak ke foodcourt si Balqish pulak ada sana so aku pusing tingkat satu. Ada Secret Recipe. Ahhh makan kek je lah aku ingat.

Masa nak pesan tu aku baru perasan rupanya si Linda yang sedang ambil pesanan aku. Aku pun tanya bila dia habis kerja saja ajak borak. Dia habis pukul 10 katanya. So malam tu pukul 10 aku jemput dia balik bawak pusing KL naik motor.

Dan malam tu banyak yang kami sembangkan. Aku teringat balik dulu masa dia resign dia kata better offer. Takkan Secret Recipe bagi gaji lagi tinggi dari aku bayar dia. Maka keluarlah cerita sebenarnya. Dia cakap la dia sebenarnya dari hari pertama aku temuduga dia, dia suka kat aku. Dia pun cakap kesian En Norman kena potong rambut. Saya suka tengok En Norman rambut panjang. Aik? Aku kena ayat ke ni? So oklah. Kami borak sampai pukul 3 pagi dan aku hantar dia balik. Rupanya dia tinggal selang beberapa blok je dari aku.

Bermula dari situ kami sering berjumpa. Dia selalu ke blok aku dengan gitar kapuk dia. Orangnya nak kata lawa, sederhana aje. Cukup lawa pada aku sudah. Tapi dia pandai main gitar. Kebetulan kami berdua minat Ella. Jadi bila dia datang blok aku dia akan main gitar. Ada la makcik makcik pernah sound aku tak elok la dating kat situ. Aku tanya habis nak bawak masuk rumah ke?

Kat bawah tu terang, selalu ada budak-budak lepak bukan aku dan Linda je so pada aku tak jadi masalah la. Layar Impian adalah lagu dia suka mainkan untuk aku setiap malam.

Last aku keluar dengan Linda adalah malam Tahun Baru 2000. Masa tu sibuk pasal Y2K lah. Aku dan Linda serta housemate aku si mat salleh sorang ni dan awek dia pergi Concorde KLIA sambut New Year kat sana dan kebetulan Chris ni member dia perform kat Lounge Concorde KLIA.

Lepas aku hantar Linda pulang pagi tu, itulah kali terakhir kami berjumpa. Ke mana dia pergi aku pon tak tahu. Puas aku cari sampai hari ni nak jumpa dia. Nak cakap terima kasih kat dia. Dia banyak ajar aku tentang persahabatan. Tentang cinta tak terbalas. Tentang perasaan. Aku tak sempat. Dah masuk 14 tahun aku cari. Kadang-kadang dengan sengaja aku ke Alpha Angle pada satu ketika dulu mana tau kalau terserempak.

Haslinda, kalau awak baca ni, saya nak jumpa awak sebelum saya dijemput pulang.


The Power of Love

Baru-baru ni (takla baru sangat 31 Mei 2012), aku menyambut ulangtahun perkahwinan aku dan isteri tercinta selama 9 tahun. WOW!!!! Sembilan tahun bukanlah satu jangka masa yang pendek. Banyakla ucapan tahniah dan juga doa-doa dari teman dan keluarga semoga berkekalan ke hujung hayat. Terima kasih aku dan isteri ingin ucapkan pada kalian.

Dalam masa 9 tahun, pelbagai dugaan terpaksa kami lalui dan harungi dan alhamdulillah semuanya dapat kami atasi dan lalui. Siapa kata ianya mudah? Banyak kali kami hampir-hampir putus asa dan ambil jalan mudah namun ada kuasa yang menghalang kami melakukannya dan mendorong kami untuk terus berjuang. Kuasa itu adalah kuasa cinta yang dianugerahkan Allah SWT kepada kami.

Kuasa cinta dan sayang dapat menyembuhkan penyakit, dapat mengalahkan musuh dan juga mengharmonikan kehidupan kita seharian. Baru-baru ni ada sorang teman mengadu yang dia baru mengenali si polan ni dan dia rasa macam mereka dah couple tapi macam tak couple. Pening kejap aku. Macam mana tu dah couple tapi macam tak couple?

Rupanya lepas dia beri penjelasan baru aku paham. Mereka ni boleh kata bak pasangan kekasih la cuma bukan macam kekasih. Aku tanya lagi kenapa pula jadi macam tu. Dia jawab, kami selalu tidak dapat kata putus tentang sesuatu dan ianya akan menjadi punca bertegang urat leher. Aku cakap, kalau urat leher takpe la bukan urat lain. Dia mengadu padaku yang si lelaki ni dah buat perancangan untuk meminang kawan aku ni. Aku cakap elok la, awak tu takkan nak membujang sampai ke senja.

Dia ni risau, sebelum kahwin asyik gaduh takut dah kahwin nanti lagi la. Aku cakap senang. Kamu pernah gagal dalam percintaan. Dah tunang dah pon dulu tapi dia putuskan. Si mamat ni pulak duda. Kalian memang ada pengalaman memedihkan. Jadi masing-masing masih takut. Takut apa kawan aku ni tanya. Takutlah, takut pisang berbuah dua kali. Takut apa yang kalian lalui akan berulang atau lebih teruk. Jadi masing-masing mencari kelemahan pasangan untuk diperbaiki. Masalahnya, kalian sekarang mudah tersinggung.

Aku cakap lagi padanya, just go with the flow. Jangan risau sangat. Jangan terlalu takut untuk bercinta. Ni korang BENCINTA dan bukan BERCINTA. Masing-masing kena bagi ruang untuk mengenali diri dan hati budi masing-masing. Lepas dua jam menasihatinya dan dia sampai sesart jalan la. Nak ke Subang Airport nah terlepas sampai ke hulu Subang mana tah. Nasib baik tak terlanggar bontot treler katanya.

Okay, berbalik kepada ceritera aku. Entah kenapa la semenjak dua ni kan, aku dok teringat kat dua orang yang pernah bertaman di hati aku. Seorang ni Nurhasnida AKA Balqis, ex-staff aku masa aku ada restoran semi-fine dining di Alpha Angle Wangsa Maju dan seorang lagi Norhaslinda yang juga ex-staff aku di restoran yang sama. Kedua-dua orang ini aku yang ambil bekerja. Balqis kerana kepakarannya dalam malay dessert dan Linda kerana paras rupanya sesuai untuk ku jadikan dia Hostess.

Aku tidak pon tahu-menahu rupa-rupanya ada perebutan berlaku antara kakitangan aku. Apa yang mereka rebutkan? Aku dow! Memanglah aku tak handsome macam Aaron Aziz tapi aku menjadi bahan taruhan mereka. Ceh, dulu aku dengar lelaki selalu buat macam tu. Sapa dapat awek tu kira jagoan. Ok ok sebelum aku kembang jom teruskan.

Aku tidak tahu yang antara Linda dan Balqis ada persaingan. Patuta Linda akan buatkan aku secawan espresso setiap pagi tatkala aku sedang melakukan semakan dalam pejabat. Namun Linda kalah kepada Balqis kerana Balqis bijak mengatur strategi. Dia memenangi hati mama aku dulu. Mama selalu akan berada di dapur restoran kerana dialah merancang menu dengan chef. Jadi peluang inilah Balqis gunakan untuk memikat hati mama aku. Dengan perwatakan sopan santun ala-ala perempuan Melayu terakhir itulah mama berkenan.

Mama cuba kenenkan aku dengan Balqis. Dan kenen mama mengena. Aku pun mula sukakan si Balqis ni. Aku kebetulan masa tu baru kehilangan Nurhanisah. Jadi cinta mula berputik. Tidak lama selepas itu Linda menghantar surat berhenti kerja tanpa menyatakan sebab. Aku tidak tahu apa sebabnya hinggalah Linda beritahu aku beberapa lama selepas itu.

Aku diperkenalkan kepada semua yang mengenali Balqis. Famili dia ada gerai di food court Alpha Angle. Jual mi wantan.Aku diperkenalkan kepada ‘kakaknya’ yang sebetulnya aku perlu panggil abang dan juga kakak serta abang iparnya. Setiap kali waktu rehat, Balqis akan mengajak aku makan di gerai abang iparnya. Tanpa aku ketahui ada agenda tersembunyi. Ye lah, sapa tak bangga dapat ngorat anak selebriti, tokey restoran ala-ala Seri Melayu lak tu, So dia dengan bangganya ‘menayang’ aku bak trofi kemenangan kepada yang mengenalinya.

Perhubungan kami intim. Dia tinggal 10 blok dari blok flat yang aku sewa. Setiap malam kami akan berjumpa untuk makan dan akan lepak di bawah sampai jam 10 11 malam. Aku mula mencintai wanita ini. Balqis juga ada membawa aku bertemu dengan ibunya yang tinggal di Gombak.

Aku tidak tahu yang si Balqis ini juga menjadi idaman salah seorang chef restoran aku. Ada sekali chef ni ajak la aku pegi minum-minum di kawasan food court wangsa maju. Tak jauh dari rumah aku. Situ rupanya dia dan beberapa orang kakitangan dapur aku selalu lepak selepas kerja kerana salah seorang rakan mereka ada membuka gerai. Kawannya ini janda beranak satu. Anak perempuan. Boleh tahan juga lah paras rupanya.

Si chef Mazlan ni dok kenen budak tu ke aku tanpa pengetahuan aku. Patutlah tiap kali lepak sana budak perempuan ni (aku lupa namanya) dia bagi layanan istimewa. Aku tak pesan lagi dah siap mihun sup dan neskafe ais aku. Dalam aku tak sedar tu, chef Mazlan ni dah report ke Balqis agaknya aku ada pasang sorang lagi awek.

Masa tu handphone paling murah pun 3 4 ribu jadi aku ada pager je. Aku dapat mesej dalam pager tu berbunyi lebih kurang macam ni la, “tak sangka awak sanggup lukakan hati saya – Balqis.” Saya terus meninggalkan staff-staff saya di sana dan start motor terus ke rumah Balqis. Saya hon dia tak menjengah. Sepanjang perkenalan kami, saya tak pernah jejakkan kaki ke depan pintu rumahnya.

Malam itu saya nekad. Hon tak muncul, saya menderam enjin motor tak juga keluar. Sebelum orang baling saya dengan batu bata baik saya pergi ketuk pintunya (enjin motor 535cc guna ekzos macam senapang patah memang bising kalau deram kuat-kuat). Saya beri salam dan mengetuk-ngetuk pintu rumahnya. Saya amat berharap kakak angkat Balqis ada di rumah jadi taklah nampak macam kami berkhalwat. Dalam masa lima minit saya ketuk baru daun pintu terbuka. Saya lihat Balqis bertelekung dan matanya bengkak. Saya tanya kenapa dia tak jawab. Dia hendak menutup pintu kayu lalu saya selitkan but supaya ianya tidak boleh tertutup. Saya minta dia berikan saya peluang dan jua memintanya menjelaskan kepada saya apa yang berlaku.

Dia membuka semula pintu dan berdiri agak jauh daripada saya walaupun kami dipisahkan jeriji besi. Dia menceritakan kepada saya yang dia mendapat berita yang saya mempunyai kekasih lain. Dan tergamak saya memainkan perasaannya selama ini. Dia kata yang dia sedar dirinya orang susah dan tak perlulah saya memainkan perasaannya, memberikan harapan kepadanya.

Saya keliru. Kekasih lain? Mainkan perasaan? Apa yang dia merepek ni saya tanyakan. Saya cakap yang betakhta di hati ini hanya dia seorang sahaja. Oh lupa aku nak beritahu, atas nasihat mama, Balqis perlu berhenti kerja dan kerja di tempat lain kalau nak menjalinkan hubungan dengan saya kerana apa kata kakitangan lain nanti. Jadi Balqis ketika ini bekerja di sebuah bakery berdekatan bulatan Pudu. Saya lah selalu menghantarnya kerja dan dia akan pulang sendiri.

Jadi kami hanya dapat berjumpa dan melepaskan rindu pada sebelah malam sahaja kerana dia pulang selalunya jam 8 malam. Kalau bas penuh 9 malam baru dia sampai, Sebab itulah aku selalu lepak dengan staf aku yang lain sementara menunggu kepulangannya.

Balqis menceritakanlah kepada aku yang ada orang melaporkan kepadanya yang aku menjalin hubungan dengan anak pemilik warung bihun sup kami lepak lepas kerja tu. Dari konfius aku jadi marah la sebab Balqis senang sangat makan hasutan orang. Masa tu tengah getir maka aku menerangkan kepada Balqis situasi sebenar.

Agak lama jugala untuk aku menerangkan situasi sebenar dan memujuk hatinya kembali. Dia sendiri cakap yang masa aku dapat pesanan tu, dia sendiri nampak aku mesra dengan perempuan tu. Aku cakap la habis takkan aku nak seranah orang yang tak buat salah. Pada aku perempuan itu hanya sekadar anak tuan punya gerai tempat kami lepak. Tak lebih dari itu. (Ya aku tahu macam bunyi dalam filem tapi kalau kalian tanya 3 orang dalam cerita aku ni mereka akan akuinya juga.) Akhirnya aku dimaafkan walaupun entah di mana salah dan silapnya. Aku diminta berjanji tidak akan ke sana lagi. Demi cinta kami, aku berjanji. Dan Balqis kata kalau aku mungkir janji kami itu maka hubungan kami akan putus dan dia akan anggap aku tidak lagi wujud dalam hidupnya. Dan dalam telekung itu jugalah dia bersalam dengan aku dan mencium tanganku meminta maaf. Terkesima aku kejap. Dia ni practice nak jadi bini aku ke? Aku baru 23 tahun!!! Takpelah.

Semenjak peristiwa itu aku perasan kami lebih rapat dari sebelumnya. Sehinggalah pada satu hari aku mendapat pesanan dari anak taukey ni katanya mamanya ingin jumpa aku nak minta tolong. Pager bukan macam handphone boleh reply, ianya one-way communication. Aku nak cakap macam mana yang aku tak boleh pergi. Takpelah, aku katakan pada diriku yang aku akan singgah sebentar untuk melihat apa dia pertolongan yang dia perlukan dan beritahunya aku tak boleh ke mari lagi.

Jam 6 petang aku sampai ke gerai bihun sup tersebut. “Nah Man! Aunty nak kau rasa dan beritahu aunty pandangan kamu tentang menu baru ni.” katanya. “Eh apa ni aunty?” tanyaku pendek. “Bakso, si Mira (kita assume la nama dia Mira sebab aku lupa) ni yang buat.”

Alamak, macam mana ni? Nak blah dah dihidangkan depan aku siap dengan nescafe ais lagi. Mau tak mau aku duduk la kejap rasa. “Aunty saya tak boleh lama ni kejap lagi nak ambil Balqis.” Dan aku perasan setiap kali aku mention nama Balqis si Mira akan berubah mukanya.

Aku pun rasa lah apa itu bakso buat pertama kali dalam hidup aku. “Boleh tahan la aunty…” dan belum sempat aku habiskan ayat aku, keluar mesej “Kita putus. Awak tipu saya” di pager Alcatel saya itu. Aku meletakkan not RM5 dan terus start motor.

Aku terpikir kejap. Aku nak ke mana? Balqis kerja. Eh! Kalau dia kerja, macam mana dia boleh hantar pesanan tu ke pager aku? Dan baru aku terfikir, ni mesti dia ada dekat sini dan ada yang membawanya ke sini untuk spy aku. AKU DIPERANGKAP!!!!

Aku baru sedar yang aku diperangkap. Aku terus ke rumah Balqis. Dia melihat aku dari tingkapnya dan terus dia menutup tingkap dan langsirnya. Macam aku ni hodoh sangat untuk tatatapan matanya. Aku mengetuk pintu rumahnya dan kak Nora yang membuka. “Man, Ida (nama Balqis di rumah) tak nak jumpa kamu. Dia pesan ke akak, kalau kamu datang suruh beritahu kamu pulang aje. Apa yang berlaku Man?” kak Nora bertanya. Masa itu jantung aku bak dirobek bila aku dengar yang Balqis memesan kepada kakak angkatnya supaya aku dihalau.

Aku menceritakan kepada kak Nora apa berlaku. Kak Nora mengangguk faham. “Takpelah Man, akak cuba apa yang terdaya. Kalau dia tak nak juga apa akak boleh buat? Dan lagi satu, dia suruh kamu ambil balik ini.” kata kak Nora sambil menghulurkan aku kotak cincin yang dalamnya ada sebentuk cincin emas putih berbentuk hati di atasnya. Dunia aku tiba-tiba gelap. Aku terduduk kejap depan pintu rumah kak Nora. Kak Nora membuka pintu untuk membantu tapi aku lebih dulu bangun dan beredar. Aku paling ke belakang, “Tak perlu kak. Saya dah faham maksudnya. Terima kasih kak keranan selama ini banyak membantu saya masa kami bersama dulu.”

Aku duduk di atas motor aku, aku tenung lama-lama cincin tersebut dan dari ekor mata aku perasan ada yang bertelekung sedang memerhatikan aku di balik tingkap ruang tamu. Dan bila aku toleh untuk melihat tingkap tersebut terus ditutup. Kenal sangat aku kelibat siapakah itu. Aku menghidupkan motor dan aku beredar. Malam itu aku tak keruan. Entah ke mana aku pusing. Aku berkuyup di kotaraya kerana hujan. Yang paling akhir aku ingat malam itu ialah aku berada di bawah rumahnya selama dua jam dalam hujan lebat dengan kilat sabung menyabung. Walaupun aku kesejukan aku nekad untuk melihatnya buat kali terakhir sebelum aku melangkah pergi. Kak Nora yang datang berpayung ke arah aku. Dia mengajak aku ke tangga supaya dapat berteduh dari hujan. Balqis mengejutnya mengatakan aku di bawah dan dia takut aku buat benda tak senonoh. Apabila aku dengar ayat itu aku hidupkan motor dan terus berlalu. Seminggu aku demam selsema dan batuk selepas itu.

Aku dapat berita yang kak Nora untuk tinggal di Pandan kerana dia mendapat hak penjagaan anak-anaknya. Maka aku yakin Balqis seorang sahaja kini. Tuhan kalau nak tunjuk tu sekejap je. Satu petang aku kebetulan lalu rumah Balqis ketika pulang dari restoran aku dan aku nampak ada lelaki lain menurunkan Balqis dari kereta. Balqis mengecam bunyi motor aku lalu dengan pantas dia berlari ke tangga untuk ke tingkat satu. Takut macam nampak hantu lagaknya. Aku terus membuat pusingan U dan menggunakan lorong lain untuk pulang ke rumah.

Aku keseorangan kembali. Restoran kami mama ambil keputusan untuk tutup kerana perbalahan dengan pihak pengurusan. Masalah apa tidak la pula saya tahu walaupun ianya atas namaku.

Memandangkan restoran dah tutup, maka aku tidak perlu menyewa di Seksyen 2 Wangsa Maju. Masa untuk aku pulang ke kondo mama di Vistana. Jadi sementara menunggu penyewa lain ambil alih rumah aku, aku ambil keputusan nak dinner kat Secret Recipe dalam Alpha Angle yang aku dengar baru buka. Aku pun memesan makanan dan minuman. Nak tergolek aku apabila yang menghantar makanan aku adalah Linda, ex-staff aku. Aku pun bertanyakan kepadanya, kenapa dari menjadi hostess yang gajinya 1,300 sanggup jadi pelayan yang gaji kasarnya dalam 700 je. Dia cakap nanti dia ceritakan. Dia simpati dengan apa yang berlaku antara aku dan Balqis. Mak ai! Satu Wangsa Maju ke tau apa yang berlaku ni?

Selesai aku makan, aku memanggil Linda untuk menyelesaikan bil. Aku tanya dia habis kerja pukul berapa, jam 10 katanya. Aku pun mengajak dia minum selepas kerja dan dia kata ok. Aku cuma nak tahu apa yang berlaku dan mengapa pula dia boleh tahu apa terjadi antara aku dan Balqis.

Malam itu aku tak bawak motor, aku bawak kereta mama. Aku jemput Linda dan membawanya bersiar-siar di KL, Kami ke Kampung Baru. Kami lepak di sebuah gerai bubur yang menjadi kegemaran mama. Memang sedap. Tapi aku ku sana bukan kerana buburnya tapi kerana pemiliknya macam abang aku jadi aku selamatlah kalau ada apa-apa,

Selepas minuman kami sampai aku meminta Linda menceritakan kepada aku mengapa dia berhenti mengejut. Lalu dia berkata, “Saya malu En Norman. Malu sesangat.” “Eh Linda!, Tak payah la nak berencik-encik dengan saya. Saya bukan lagi bos awak.” balasku.

“Boleh saya panggil En Norman sayang?” katanya kepadaku dan hampir-hampir sahaja aku menyemburnya dengan air di dalam mulutku. “Kalau tak boleh takpe, saya sedar saya tak layak untuk awak. Awak anak somebody. Saya nobody. Untung Balqis dapat awak dulu tapi dia bodoh kerana tak tahu jaga awak.” Sekali lagi bundar biji mata kembang kuncup telinga ni kejap mendengar.

Aku macam tak percaya apa yang aku dengar. “Awak ingat tak masa interview dulu? Masa itu lagi saya dah jatuh hati dengan awak. Wani pun sama. (Wani kawan LInda yang datang masa interview tapi Wani dapat tawaran lebih baik di sebuah toko jamu). Dan apabila awak call saya cakap saya dapat kerja itu sukanya saya..”

Dan patutlah aku perasan masa kami buat latihan selama dua minggu sebelum perasmian restoran aku tu, si Linda ni perhatikan aku macam la aku ni filmstar dan setiap kali bila aku yang bercakap ketika latihan, dia akan ambil nota.

“Cuma saya agak terkilan bila awak rapat dengan Balqis. Sebab awak couple dengan Balqis lah saya berhenti kerana saya tak sanggup melihatnya. Dan lebih pedih lagi apabila Balqis memberitahu kami yang kami tak setaraf untuk awak. Hanya dia sahaja.”

Aku terpukau sekejap. Betul ke ni? Dan kami berbual sehingga larut malam sebelum aku menghantarnya pulang dan rupa-rupanya Linda hanya selang beberapa blok dari blok aku. Semenjak itu kami mula rapat. Dia akan bawak gitar kapuknya dan lepak di taman di bawah dan memetik lagu-lagu Ella sambil kami lepak-lepak, Kebetulan kami berdua memang minat Ella.

Tanpa kami sedari kami telahpun menjalinkan hubungan dan Balqis kini hanyalah memori. Hari-hari terakhir aku menyewa di Wangsa Maju juga merupakan hari-hari terakhir hubungan aku dan Linda. Setiap malam Linda akan ke rumah aku, memetik lagu kegemaran aku dari Ella, Esok Lusa Selamanya.

Esok Lusa Selamanya

Malam Tahun Baru merupakan malam terakhir kami keluar bersama. Aku membawanya ke hotel Pan Pacific di KLIA untuk melihat bunga api dan jua kebetulan band kawan aku bermain di lounge di Pan Pacific tersebut.

Dan esok aku akan berpindah ke rumah mama semula. Aku tak akan lupa ayat ini dari Linda, “Saya gembira sangat dapat bersama awak. Walaupun sekejap kalau ditakdirkan.” Aku meletakkan jari telunjukku ke bibirnya kerana aku tak suka akan ayat tersebut. Malam itu aku menghantarnya pulang. Sebelum turun dia ucapkan terima kasih. Esok dia akan pulang ke kampung. Silap aku, aku tak tanya kampung dia di mana. Malam itu adalah malam terakhir aku berjumpa dengannya kerana selapas itu dia menghilangkan diri. Sebab apa tidak aku ketahui. Dan hingga kini, aku ingin jumpa Linda dan Balqis untuk ucapkan terima kasih dan mohon maaf dari mereka kiranya aku pernah mengecewakan mereka. Nama penuh mereka aku tidak ingat tapi sorang ni Nurhasnida atau Balqis dan seorang lagi Norhaslinda.

Silalah hubungi saya kiranya kalian mengenali mereka atau salah seorang daripada kalian pembaca adalah mereka. Sesungguhnya ku ingin berjumpa mereka ini buat kali terakhir sebelum mata ini terpejam rapat buat selama lamanya.