Posts Tagged ‘Mohd Razis Suhaimi’


Al Fatihah…..

Pagi tadi aku dan kawan-kawan team ER One Auto Rescue dikejutkan dengan berita sedih. Kami kehilangan seorang sahabat yang telah kembali ke rahmahtullah setelah beberapa bulan koma dan bertarung nyawa.

Arwah merupakan seorang sahabat yang boleh diharap dan kerap membantu teman-teman dalam kesusahan. Arwah juga tidak pernah berkira masa baik pun wang ringgit. Kami di ER One Auto pastinya terasa kehilangan arwah yang sentiasa ceria dan gembira. Arwah akan suka berjenaka dalam loghat Kedahnya yang pekat.

Tiada lagi kelibat Nissan Cefiro Ungu ala KL Drift ketika kejar info kemalangan dan tiada jua pemandu trak penunda yang sehebat arwah (mana tak hebatnya kalau kereta patah 3 arm, arwah tunda juga dengan satu tayar).

Wahai Mohd Razis Suhaimi, aku halalkan segala termakan terminum mu. Aku maafkan jua jika sekiranya kamu ada salah dan silap dennganku dan di sini aku ingin menyeru kepada sesiapa yang mengenali arwah supaya menghalalkan hutang-hutangnya dan juga termakan minumnya.

Arwah juga meninggalkan seorang balu mualaf dan dua orang anak kecil. Semoga mereka tabah menghadapi dugaan Allah SWT. Dan moga Allah mencucuri rohnya dan ditempatkan disisi mereka yang soleh. Amin.


Pagi Ahadku yang lalu dikejutkan dengan panggilan dari teman “callman” aku Wan atau kodnya 55.Katanya, “47 (kod aku), ko dah bangun ke?”

“Kenapa ni Wan?” tanyaku sambil menggosok mata. Ku lihat jam 830 pagi,

“Kau datang ke wad kecemasan sekarang. Doktor kata Ajis dah 50-50!”

Terkesima aku sekejap. “Ok ok aku siap sekarang”

Kat luar isteri aku sedang menyiapkan sarapan. Kebetulan tengahari nanti mak mertua aku  akan menganjurkan majlis sambutan hari lahir puteriku yang ke lapan yang jatuh pada 10 April lalu. Terkejut wife aku tengok aku terus melompat masuk bilik mandi.

“Yang, lepas breakfast kita pergi hospital kejap. Kawan I tengah nazak.” kataku kepadanya sambil berjalan ke kamar mandi. Sambil aku mandi aku mendengar si mama menyuruh anak-anaknya makan cepat dan siap nak ke rumah nenek mereka.

Apabila dah setel, aku menghantar budak-budak ke rumah mak mertua. Dalam hati ini tertanya-tanya akan keadaan sahabat aku.

Apa yang berlaku?

Apa puncanya?

Terukkah keadaanya?

Adakah dia akan selamat?

Sedar-sedar kami dah sampai ke HKL. Aku terus ke Wad Kecemasan. Di sana aku lihat beberapa rakan Callman aku sudah sedia menanti dengan sabar. Ada yang muka macam belum tidur, ada yang bercakap dalam telefon dan ada juga yang sedang update rakan-rakan lain menerusi walkie-talkie.

Aku jumpa si Donat 32 dan Wan 55. Mereka memberitahu aku yang si Ajis kini berada dalam wad Zon Kritikal yang bersebelahan dengan Wad Kecemasan. Aku dan isteri masuk ke dalam. Tergamam aku melihat keadaan Ajis atau nama sebenarnya Mohd Razis Suhaimi (FB link https://www.facebook.com/profile.php?id=100000867520368). Umurnya baru 26. Mempunyai isteri dan dua anak kecil. Aku lihat mukanya berdarah. Dalam team kami, Ajis merupakan salah seorang pemandu trak tunda. Aku bertanyakan kepada Bonang 61 dan isterinya Ah Chin (yup dia kacukan Cina Melayu) apa yang berlaku kerana malam sebelumnya memang aku juga stand-by di KL dalam. Tapi tak lama sebab bateri set aku kong. Aku pulang sekitar jam 2 pagi.

Katanya mereka tengah stand-by di kawasan sekitar Maju Junction. Ketika itu jam 5 lebih. Mereka baru sahaja lepas minum-minum di Kampung Baru dan selalunya jam 5 pagi kaki-kaki disko yang takut kantoi minum akan lepak-lepak dulu akan mula pulang dan ketika inilah paling banyak kemalangan berlaku.

Dalam mereka asyik berborak, Ajis tiba-tiba kejang seperti orang kena sawan dan rebah tersembam. Itu yang menyebabkan mukanya berdarah kerana bibirnya luka. Malah ketika dia kejang itu, Ajis juga tergigit lidahnya menyebabkan luka. Kawan-kawan yang lain terus bertindak dengan menghantar Ajis ke HKL.

Namun, dengan segala pemeriksaan yang dijalankan, doktor tidak dapat memberitahu kami apakah punca sebenarnya. Kami cuma dapat ramalkan yang dia terkena serangan jantung kerana bacaan pada mesin ECG menunjukkan denyutannya sekitar 87 ke 94 seminit sedangkan yang normal sekitar 110 seminit.

Ajis koma dan bergantung kepada alat bantuan hayat (life support)

Malah ketika aku tiba aku sebak kerana aku lihat Ajis disambungkan ke alat sokongan hayat. Ini bermakna dia tidak dapat bernafas dengan sendiri dan kali terakhir aku melihat alat ini ialah ketika arwah nenek aku diserang strok kali ke-3 yang menjemputnya pulang ke rahmatullah.

Aku terus ke sisi Ajis. Aku berbisik di telinganya, “Ajis, ni aku 47. Aku tahu hang boleh dengaq aku (Ajis berasal dari Kedah jadi aku gunakan lingo utara). Hang kena lawan Jis, hang ada anak-anak kecik lagi. Kami kawan-kawan hang akan sentiasa ada di sini. Hang kena tabah. Hang kena kuatkan semangat”.

Selesai aku mengajarnya mengucap kalimah syahadah, aku lihat lidahnya bergerak-gerak. Malah selepas beberapa rakan-rakan lain berbisik di telinganya, kami dapat lihat air matanya bergenang. Maknanya dia dapat mendengar apa yang kami bisikkan kepadanya cuma dia sahaja tidak dapat berinteraksi.

Aku ingin menyeru kepada pembaca-pembaca semua, agar mari kita berdoa supaya insan bernama Mohd Razis Suhaimi ini cepat sembuh seperti sediakala. Itu sahaja yang mampu kita lakukan. Dan balasannya hanya ALLAH swt sahaja yang mampu tentukan. Sebagai salah seorang sahabat Ajis, aku turut bersedih dengan apa yang telah berlaku ke atas dirinya.

Kepada Ah Chin, sabarlah. Semua ini dugaan ALLAH. ALLAH akan menduga hamba-hamba yang disayangiNYA. Insya ALLAH Ajis akan selamat. Yang penting, kita sentiasa berdoa agar Ajis cepat sembuh.

Ajis ketika sihat.

Ajis ketika sihat